Kehidupan yang Terhubung dengan Keabadian

Oleh Gembala Utama Rev. David Ho

Mencari Arah di Tengah Arus Zaman

Kita hidup dalam era yang serba pantas, penuh dengan kebisingan dan maklumat yang bercelaru. Hati manusia menjadi resah, nilai-nilai sering berubah, dan fokus kehidupan kita kerap kali ditelan oleh perkara-perkara di depan mata. Dalam perjalanan iman, ramai umat Kristian mudah terperangkap dalam “kesibukan yang rabun”—melayani, bekerja, dan menjalani kehidupan seharian, namun terputus daripada keabadian.

Tetapi Alkitab mengingatkan kita: “Sebab kami tidak memperhatikan apa yang kelihatan, melainkan apa yang tidak kelihatan, kerana apa yang kelihatan adalah sementara, sedangkan apa yang tidak kelihatan adalah kekal.” (2 Korintus 4:18)

Kehidupan yang benar-benar diutus mestilah sebuah kehidupan yang terhubung dengan keabadian. Apabila kita memahami bahawa pelayanan kita berkaitan dengan Kerajaan Allah yang kekal, kita dapat menghidupi nilai yang tak terhingga dalam hari-hari kita yang terbatas.

(1) Marilah Kita Hidup dengan Berjaga-jaga

Tuhan telah meletakkan karunia dan sumber yang berbeza dalam diri setiap orang percaya. Dia mempercayakan masa, bakat, harta benda, dan peluang kepada kita—bukan untuk kita gunakan mengikut kehendak sendiri, melainkan untuk menjadi pengurus yang setia (Matius 25:14–30).

Berjaga-jaga adalah respons kita terhadap kasih karunia. Sikap berjaga-jaga ini bukan sekadar mengelakkan godaan, tetapi merupakan kesedaran yang jernih terhadap panggilan misi kita:

  • Dalam hal penginjilan dan misi, adakah kita masih jelas tentang panggilan yang Tuhan letakkan di dalam hati kita?

  • Dalam penggunaan sumber, adakah kita mengutamakan Kerajaan Allah?

  • Dalam kehidupan seharian, adakah kita ingat bahawa segala yang dikurniakan Tuhan adalah untuk memuliakan-Nya?

Sekiranya kita bersedia untuk berjaga-jaga, kita akan melihat peluang yang diberikan Tuhan—mungkin seorang rakan yang belum percaya, sebuah pelayanan rentas budaya, atau dorongan untuk memberi persembahan—semua ini bukanlah kebetulan, melainkan pintu masuk di mana Tuhan menjemput kita menyertai pelan abadi-Nya.

(2) Marilah Kita Memelihara Pengharapan

Perjalanan misi dan penginjilan kerap kali diiringi dengan cabaran dan air mata. Para mualim/mubaligh yang melayani secara bersendirian di perantauan dan gereja yang setia menyokong di belakang tabir—semuanya bukanlah tugas yang ringan. Namun, pengharapan yang sejati tidak terletak pada hasil di depan mata, melainkan pada Kerajaan yang tidak kelihatan.

Paulus menyatakan dalam 2 Korintus 5:7, “Sebab hidup kami ini adalah hidup kerana percaya, bukan kerana melihat.” Apabila kita menetapkan pandangan pada keabadian, kita dapat terus melangkah di tengah-tengah kesusahan.

Kerana kita tahu bahawa setiap doa, setiap persembahan, dan setiap langkah misi meninggalkan jejak dalam cetak biru abadi Tuhan. Pengharapan sebegini membuatkan kita tidak rebah oleh kekecewaan sementara dan tidak berundur kerana keadaan persekitaran. Pandangan abadi berupaya mengubah penderitaan sementara menjadi peluang kemuliaan.

(3) Marilah Kita Menetapkan Matlamat

Paulus memberi dorongan dalam 1 Korintus 15:58: “Kerana itu, saudara-saudaraku yang kekasih, berdirilah teguh, jangan beranjak, dan giatlah selalu dalam pekerjaan Tuhan! Sebab kamu tahu, bahawa dalam persekutuan dengan Tuhan jerih payahmu tidak sia-sia.”

Inilah teras utama bagi kehidupan yang terhubung dengan keabadian—kesetiaan yang teguh. Tepukan sorak dunia akan berlalu dan pencapaian akan dilupakan, tetapi segala yang dilakukan di dalam Tuhan akan diingati selama-lamanya. Sama ada anda menyerahkan diri secara fizikal di ladang misi, atau menyokong, berdoa, serta memberi persembahan di belakang tabir, kesusahan anda adalah terhubung dengan kehendak abadi Tuhan.

Misi bukan sekadar aktiviti atau program, melainkan panggilan bagi seluruh gereja. Setiap orang percaya terlibat dalam gerakan penyelamatan ini—supaya segala bangsa dapat mendengar Injil dan menyaksikan kemuliaan Tuhan.

Penutup: Menghidupi Kesaksian yang Terhubung dengan Keabadian

“Kehidupan yang terhubung dengan keabadian” bukanlah sesuatu cita-cita yang mustahil dicapai, melainkan satu sikap iman yang boleh kita praktikkan hari ini. Apabila kita memanfaatkan karunia Tuhan dengan berjaga-jaga, bertahan hingga ke akhir dengan pengharapan abadi, dan menyempurnakan tugas yang diamanahkan Tuhan dengan setia, kehidupan kita dipautkan pada Kerajaan-Nya yang kekal abadi.

Semoga Tuhan menggunakan gereja-Nya untuk menjadikan kita saksi-saksi yang sedar dan berhikmat pada zaman ini,

Menghidupi kehidupan yang terhubung dengan keabadian di atas bumi,

Sehingga pada hari itu, kita bersama-sama mendengar Tuhan berkata:

“Syabas, hai hamba yang baik dan setia; masuklah dan turutlah dalam kebahagiaan tuanmu.” (Matius 25:21)

(Dipetik daripada Buletin Khas Persidangan Misi Ke-32)